JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin Wilayah Dua menyerbu sebuah kedai di Masai, Pasir Gudang yang menyimpan pelbagai jenis arak tidak bercukai dianggarkan bernilai RM50,000.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan pembantu kedai tersebut dalam serbuan pukul 4 petang kelmarin.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 537 tin dan botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM50,000 termasuk cukai berjaya dirampas.
“Kesemua minuman keras itu disimpan di dalam sebuah stor. Sementara itu, majikan atau pemilik premis sedang diburu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi memberitahu, suspek kini ditahan reman selama 12 hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan, kita turut memberikan amaran terhadap mana-mana pihak untuk menghentikan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Sementara itu, kita juga berharap orang awam akan terus menyalur maklumat tentang sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka,” katanya. – UTUSAN










