MELAKA: Bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat kerajaan negeri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pilihan menggunakan jawatan dalam melantik anaknya ke jawatan penolong pegawai sumber manusia di syarikat berkenaan.
Tertuduh, Abu Bakar Jani, 64, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah membuat urusan berhubung suatu harta iaitu bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM31,200 yang diterima anaknya yang dilantik ke jawatan penolong pegawai sumber manusia.
Mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman diringankan dengan alasan kini hanya membantu adik iparnya menjual pisang goreng, selain menghidap kencing manis.
Mengikut fakta kes, tawaran jawatan tersebut dibuka kepada mana-mana individu yang mempunyai diploma pengurusan sumber manusia, namun anak perempuan tertuduh hanyalah lepasan diploma dalam bidang seni lukis dan seni reka (fesyen).
Mahkamah menjatuhkan denda berjumlah RM15,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN










