BATU PAHAT: Seorang pelajar tingkatan tiga dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan merogol rakan sebayanya, bulan lalu.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merogol rakan sebayanya berumur 15 tahun di Taman Ria, Rengit, kira-kira pukul 9 malam, hujung Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, berserta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd. Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 9 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan laporan akhlak dan fakta kes. – UTUSAN










