Empat lelaki berdepan hukuman gantung, didakwa edar hampir 60 kilogram dadah - Utusan Malaysia

Empat lelaki berdepan hukuman gantung, didakwa edar hampir 60 kilogram dadah

S. JIVEEN (kiri), Pui Wei Hao (dua dari kiri), Chu Chien (berbaju merah) dan Lo Shaw Jie (kanan) didakwa mengedar hampir 60 kilogram dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) hampir 60 kilogram, minggu lalu.

Tertuduh, Chu Chien Yaeh, 36, Lo Shaw Jie, 26, S. Jiveen, 39, dan Pui Wei Hao, 31, mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan  selepas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu di hadapan Majistret, R. Salini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis MDMA dengan berat kasar 59,581 gram (g) di Pangsapuri Residensi Puncak, Jalan Dato’ Abdullah Tahir, Taman Abad, di sini kira-kira pukul 12.30 pagi, 12 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen  manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana semua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan kimia.

Isnin lalu, media melaporkan polis negeri ini menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Mei lalu dengan menahan tujuh individu dan merampas pelbagai jenis dadah melebihi 60 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sindiket yang aktif di daerah ini tumpas dalam tiga serbuan berasingan antara 12 tengah hari hingga 2 petang, 12 Ogos lalu di sekitar bandar raya ini dan Seri Alam.

Modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menjadikan kediaman berpagar dan berpengawal untuk menjalankan aktiviti memproses dan membungkus dadah sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×