Broker rugi RM1.45 juta, terpedaya pelaburan palsu - Utusan Malaysia

Broker rugi RM1.45 juta, terpedaya pelaburan palsu

M. KUMJAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang broker bukan sahaja berputih mata untuk meraih keuntungan lumayan, malah turut mengalami kerugian sebanyak RM1.45 juta kerana terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan saham luar negara didakwa berpusat di Hong Kong.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 44 tahun itu semalam yang mendakwa tertarik selepas melihat iklan pelaburan berkenaan dalam media sosial Facebook pada Mei lalu.

“Pelaburan daripada syarikat bernama Pantheon Ventures itu menjanjikan pulangan 100 peratus, iaitu 25 peratus untuk ejen dan 75 peratus bagi pelabur. Selain itu, mangsa turut ditawarkan percutian percuma ke Hong Kong untuk bertemu dengan pelabur lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerana percaya, mangsa membuat pelaburan sebanyak RM1.5 juta ke dalam beberapa akaun berbeza sejak Jun hingga Ogos lalu. Mangsa juga memuat turun aplikasi Apex untuk memantau pelaburan dibuat.

“Pemeriksaan awal mendapati pelaburan itu menguntungkan, sehubungan itu mangsa mengeluarkan sedikit pelaburan dan meninggalkan RM1.45 juta untuk meneruskan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Namun, mangsa kemudian menyedari telah ditipu apabila wang pelaburannya tidak dapat diambil semula atas dakwaan telah melanggar peraturan pelaburan.

“Nombor telefon mangsa juga telah disekat, menghalang mangsa untuk berkomunikasi dengan ejennya,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Kumar turut memaklumkan, pihaknya telah menerima 399 laporan berkaitan pelaburan palsu dengan kerugian sebanyak RM32.9 juta sejak 1 Januari hingga semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini