Mahasiswa perakaunan UiTM cipta sumbu mesra alam - Utusan Malaysia

Mahasiswa perakaunan UiTM cipta sumbu mesra alam

Sumbu mesra alam
MOHAMAD Azriel Danish Mohd. Azuan bersama rakan-rakan sekumpulannya bergambar bersama Mohammad Yusof Apdal dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin selepas dinobatkan sebagai juara i-SIIDEC di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Meskipun menuntut dalam bidang perakaunan, namun itu tidak menghalang sekumpulan mahasiswa itu memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan dimiliki untuk mencipta sumbu api mesra alam.

Malah, ciptaan itu juga menyebabkan sekumpulan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak dari Kampus Tapah itu dinobat sebagai juara dalam Pameran dan Pertandingan Antarabangsa Rekacipta dan Inovasi Siswa (i-SIIDEC), hari ini.

Menurut ketua kumpulannya, Mohamad Azriel Danish Mohd. Azuan, dia berpakat bersama rakan-rakannya untuk mencipta produk inovasi sains, sumbu api yang diberi nama sebagai ‘Semarak’

Katanya, ciptaan tersebut menampilkan ciri-ciri mesra alam dan pemeruapannya tidak menyebabkan pelepasan gas berbahaya sekali gus mesra alam sekitar serta tidak membahayakan kesihatan penggunanya.

“Bahan untuk membuat produk kami antaranya seperti bahan-bahan semula jadi dan terpakai. Pemula api biasanya digunakan untuk membakar kayu api dan arang untuk unggun api perkhemahan dalam hutan dan barbeku.

“Bahan mesra alam ini selain tidak mengandungi bahan kimia ia juga boleh didapati dengan kos yang rendah,” katanya ditemui Utusan Malaysia pada program tersebut, hari ini.

Sebagai juara, mereka mengungguli hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM1,000, piala dan sijil yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

 

Sumbu mesra alam

Dalam pada itu, Mohamad Azriel Danish memberitahu, dia dan rakan-rakannya berhasrat untuk memasarkan ciptaannya ke dalam pasaran namun belum memikirkan kaedah dan bila ia akan dijual kepada umum.

“Yang pasti kami berniat untuk mendaftarkannya di bawah hak cipta. Ciptaan itu pada asasnya kosnya rendah di bawah RM2 sahaja. Ada tujuh biji pencetus kebakaran di dalamnya dan saya berharap ia boleh pergi lebih jauh di pasaran,” ujarnya.

Selain Mohamad Azriel Danish, kumpulan tersebut dianggotai Ahmad Shamie Aqif Raimey, Muhamad Farid Irfan Azman, Awal Ashraff Azlan, Amal Ashmaan Rusdi, Muhammad Adam Daniel Omar Zakir, Ariff Azimi Abdullah, Muhammad Najmi Faris Normifazri dan dipimpin oleh pensyarah, Naimah Zaini.

I-SIIDEC adalah program inovasi anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM bagi menggalakkan pelajar menghasilkan idea produk berunsurkan teknologi dalam bentuk prototaip. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×