ALOR SETAR: “Dia datang meminta supaya ruqyahkan anaknya kerana mendakwa kanak-kanak itu dirasuk sehingga menyebabkan perutnya buncit”.
Demikian ujar Imam Masjid Al-Hidayah di Bukit Pinang, Mohd. Fauzi Bakar ketika diminta menceritakan detik-detik dia dihampiri lelaki Rohingya yang ditahan di masjid itu kerana disyaki membunuh isteri serta dua anaknya di Pekan Simpang Kuala, malam kelmarin.
Menurut Mohd. Fauzi, lelaki itu didapati berada di tangga masjid ketika dia bersama beberapa jemaah lain sedang keluar dari pintu utama selepas solat Isyak.
“Sebaik melihat kami keluar dari masjid, dia terus menghampiri bersama seorang anaknya. Dia kemudian meminta tolong kerana katanya anaknya itu dirasuk dan berikutan kejadian itu, perut anaknya dikatakan menjadi buncit.
“Ketika itu cuaca hujan dan kami agak tergesa-gesa untuk memenuhi jemputan sebuah rumah yang mengadakan kenduri tahlil. Apabila lelaki itu berkata demikian, saya pegang kepala anaknya lalu membacakan surah al-Fatihah selain ayat-ayat suci al-Quran.
“Tak lama selepas itu, anggota polis datang dan terus memberkas lelaki berkenaan. Saya tak tahu apa ceritanya hinggalah seorang individu lain memaklumkan bahawa lelaki warga asing itu terlibat dalam kes bunuh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, lelaki itu hadir dalam keadaan berbaju dan berkain pelikat ketika bertemunya.
“Sebelum itu saya langsung tidak mengetahui mengenai kejadian tersebut walaupun penemuan mayat isteri dan anak mangsa telah tular di media sosial.
“Sebelum dia ditahan, lelaki itu sempat juga memohon untuk tidur di masjid. Katanya kalau dapat tidur di pekarangan masjid pun tak mengapa tetapi dia minta supaya buka lampu,” katanya.
Tambahnya, dia kemudiannya meninggalkan masjid dan tidak tahu apa lagi yang berlaku kerana menganggap segalanya telah selesai berikutan kehadiran polis.
“Setelah polis menahan suspek, saya bersama jemaah lain terus memenuhi undangan kenduri di kawasan berhampiran. Selepas itu, saya tak tahu apa yang berlaku,” katanya. -UTUSAN










