MELAKA: Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan tanda bahawa sokongan pengundi Melayu telah kembali kepada UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walau bagaimanapun kejayaan BN merampas semula kerusi itu membuktikan bahawa kemenangan tidak mustahil untuk dicapai, sekiranya seluruh anggota parti bersatu-padu.
Katanya, bagi mengekalkan kemenangan di DUN Mahkota dalam PRK akan datang pula, strategi atau formula yang digunakan di Nenggiri perlu dilihat semula sama ada bersesuaian atau tidak.
“Dia terlalu awal untuk kita buat conclusion (kesimpulan) tetapi kemenangan di Nenggiri ini memberikan satu petanda untuk kita terus berusaha.
“Sebab menang satu tidak semestinya melambangkan bahawa seluruh negeri Kelantan itu, 42 (DUN) kita sudah control (kuasai), tidak betul.
“Sebab Kelantan ada 42 DUN, kita baru menang satu jadi itu sebenarnya ada petanda mengatakan bahawa, kalau kita semua bersatu padu dalam satu parti, bekerjasama menguatkan parti, insya-Allah kemenangan akan sampai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.
Sabtu lalu, BN meraih kemenangan bergaya selepas calonnya, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang pada PRK DUN Nenggiri, sekali gus merampas semula kerusi berkenaan daripada Perikatan Nasional (PN).
Kemenangan Awie diumumkan Pegawai Pengurus PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud pukul 9.30 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Kompleks Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan dan disambut dengan tepukan gemuruh.
Awie menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon PN, Mohd. Rizwadi Ismail. – UTUSAN











