KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes melibatkan seorang bekas banduan yang didakwa atas empat pertuduhan memiliki bahan dan menyokong kumpulan pengganas Islamic State (IS) pada Jun lalu.
Hakim Zulkifli Abllah memaklumkan, penetapan sebutan semula kes itu kerana pihak mahkamah masih belum menerima laporan pakar untuk menganalisis kandungan barang kes berkaitan dengan pengganas IS.
Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas banduan kes kumpulan pengganas IS didakwa sekali lagi atas empat pertuduhan memiliki bahan, menyokong dan mengaku keahlian dengan melakukan upacara baiah terhadap pemimpin kumpulan itu.
Tertuduh, Nik Mohd. Shalahuddin Zakaria, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa memiliki 1,398 keping gambar, 62 buah video dan 565 artikel dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF) di dalam dua buah telefon pintar jenis Samsung Galaxy J7 dan Oppo A16K.
Kesemua bahan itu mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal di sini kira-kira pukul 9.15 pagi pada 10 Jun lalu.
Nik Mohd. Shalahuddin didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan harta yang telah digunakan atau diniat dalam melakukan kesalahan itu turut dirampas sekiranya disabitkan bersalah.
Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial, Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam Il.
Kesalahan itu dilakukan di lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.15 malam pada 10 Jun lalu.
Menurut pertuduhan keempat, Nik Mohd. Shalahuddin didakwa mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara baiah dengan seorang lelaki iaitu pemimpin IS sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas tersebut. – UTUSAN










