Merdekakah pemikiran dan tindakan kita?

Merdekakah pemikiran dan tindakan kita?

HUBUNGAN dan ikatan pelbagai etnik khususnya di semenanjung sebagai satu kesatuan utuh masih lagi rapuh sekali gus memerlukan pemahaman dan penghayatan Kontrak Sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH 67 tahun kemerdekaan, sistem sosial kita, iaitu hubungan dan ikatan etnik Melayu-Cina-India, khususnya di Semenanjung sebagai satu kesatuan utuh dalam erti yang sebenarnya ibarat jauh api dari panggang, iaitu tidak seperti yang diharapkan. Ia satu fenomena, yakni perkara yang benar-benar berlaku dan disedari oleh banyak pihak sebagai rapuh.

Hubungan dan ikatan sebegitu rupa terjadi kerana integrasi yang merupakan sifir pembentukan negara bangsa kita, tidak pun berjaya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ini kerana keengganan etnik bukan Melayu yang secara umumnya didapati selalu mencari dalil untuk tidak mahu berintegrasi sepenuhnya ke dalam struktur sosial Melayu.

Antaranya untuk berkongsi bahasa, budaya dan sejarah. Dengan ini, bahasa, budaya dan sejarah Melayu hendaklah diterima bukan sahaja dengan seadanya. Juga secara ikhlas atas dasar bahawa negara yang didatangi etnik bukan Melayu adalah tidak lain tidak bukan bumi Melayu-Islam.

Sehubungan penerimaan ini, etnik bukan Melayu, khususnya Cina didapati masih memiliki minda dan jiwa terkongkong, yakni yang belum bebas sepenuhnya lagi daripada mentaliti sebagai orang luar. Sepatutnya dengan negara yang sudah lama merdeka, yakni kita bukan sahaja memerintah sendiri, juga boleh menentukan destini kita tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak luar, mentalitinya bukan sebegitu lagi, sebagai orang asing yang tiada apa-apa kaitan jua dengan negara ini, khususnya yang bersifat primordial.

Sepatutnya dengan tempoh yang sudah agak lama itu, pemikiran dan tindakan etnik bukan Melayu tidak boleh lagi dan hanya semata-mata mahu terikat dengan perihal dan kepentingan etnik sendiri sahaja. Sebaliknya ia sangat wajar untuk memupuk pemikiran dan tindakan dalam bentuk etnik bukan Melayu bersama-sama etnik Melayu bergerak seiring secara kolektif.

Sebaliknya yang sering berlaku ialah banyak perkara yang dilakukan etnik bukan Melayu, lebih-lebih lagi oleh Cina adalah semata-mata atas dorongan kendiri yang selalu pula individualisitik sifatnya. Ia sebegitu sehingga sering kali didapati membelakangkan etnik Melayu sebagai etnik dominan.

Gejala begini antaranya dapat dilhat pada kenyataan yang menyanggah kepentingan penguasaan bahasa Melayu yang baik oleh warganegara, khususnya dalam kalangan yang bukan Melayu. Sehubungan ini, bahasa Melayu ditonjolkan sebagai tidak mempunyai nilai ekonomi tinggi, berbanding dengan bahasa Cina Mandarin, apatah lagi bahasa Inggeris.

Dalam pada ini, penyebaran bahasa Melayu diunjurkan sebagai amat terhad sekali, yakni di Indonesia sahaja sebagai tempat lain yang signifikan di luar Malaysia.

Sepatutnya melalui minda dan jiwa yang tidak terkongkong, sudah harus ada kesedaran dan keinsafan bahawa nilai bahasa Melayu adalah dalam ranah kenegaraan. Ia tinggi sekali kerana bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah identiti nasional untuk negara ini dan identiti budaya bagi rakyatnya.

Oleh itu, bahasa Melayu wajib dikuasai dengan cemerlang oleh setiap warganegara di segenap pelosok tanah air untuk menjaga citra Malaysia, baik di dalam mahupun di luar negara.

Ini kerana ia satu keaiban negara apabila masih terdapat warganegara yang tidak menguasai bahasa negara setelah sekian lama bermulanya proses pembentukan negara bangsa.

Reaksi terhadap larangan derma kepada sekolah oleh syarikat minuman keras tidak lama dahulu jelas memperlihat bahawa setelah sekian lama menetap di bumi Melayu-Islam, etnik bukan Melayu masih tidak mengetahui walaupun pada hanya permukaannya, cara hidup etnik lain, khususnya Melayu selaku tuan punya bumi yang mereka sedang diami kini.

Hal jelik ini dapat dilihat pada bantahan bahawa derma kepada sekolah vernakular Cina oleh syarikat minuman keras tertentu adalah semata-mata urusan etnik Cina yang langsung tiada kena-mengena dengan etnik Melayu. Juga dengan Islam sebagai anutan mereka yang walaupun merupakan agama negara yang disebut sebagai agama persekutuan.

Ia bukan sahaja bersifat sangat angkuh semacamlah etnik Cina sahaja satu-satunya unit terpenting dalam sistem sosial Malaysia. Juga ia memperlihat dorongan individualistik etnik Cina yang rakus, selain sama sekali tidak menghiraukan pandangan, keperluan dan kerjasama dengan etnik lain, lebih-lebih lagi Melayu sebagai penduduk asal selain kelompok majoriti di negara ini.

KONTRAK SOSIAL
Sebenarnya sanggahan dan bantahan itu tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana ia telah pun dipersetuju dalam Perjanjian Etnik 1955 yang lebih dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial.

Padanya setelah etnik Melayu memberi kerakyatan kepada yang bukan Melayu, etnik Cina dan India bersetuju untuk menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu selaku bahasa negara, kedudukan istimewa etnik Melayu dan kedaulatan Raja Melayu.

Sewajarnya setelah 67 tahun kita merdeka, pemikiran dan tindakan kita bukan sahaja sudah terbuka amat luas ekoran pemahaman dan penghayatan Kontrak Sosial itu. Ia juga sudah mampu menunjukkan kematangan tinggi, yakni sudah ada banyak kemajuan daripada kejahilan semenjak 1957.

Untuk semua ini berjaya, budaya kolektivisme harus didukung. Dengan ini, etnik bukan Melayu sangat bergantungan kepada etnik Melayu dan tidak boleh sesekali bersifat individualisme dalam pemikiran dan tindakan mereka.

Oleh itu, kerjasama dan keharmonian harus diutamakan oleh etnik bukan Melayu dan bukannya sebarang persaingan, apatah lagi pertentangan dengan etnik Melayu.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×