Saya tidak akan berhenti bersuara demi Palestin - Utusan Malaysia

Saya tidak akan berhenti bersuara demi Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUKILAN ini adalah sebuah penghargaan buat jelitawan ini atas usaha dan kelantangannya dalam bercakap mengenai isu Palestin. 

Tiada sekelumit rasa gentar atau bimbang disekat di media sosial, Kavita Sidhu, terus memanfaatkan kudrat dan ruang maya untuk menyebarkan kesedaran mengenai penindasan rakyat negara itu. 

Jika ada penganugerahan atas jasa dan keberanian, Kavita layak diangkat antara penerimanya. 

Ini disebabkan, dalam ada segelintir selebriti yang masih berdiam mengenai kekejaman Israel, Kavita memilih untuk terus bersuara. 

“Ramai kenalan saya berlainan agama dan bangsa sekian lama bersuara mengenai hak rakyat Palestin. Contoh, seperti pengarah, Datuk Paduka Shuhaimi Baba menerusi  filem Selubung juga ada mengulas mengenai isu Palestin. 

“Saya pernah diminta untuk ‘mengunci mulut’ tentang isu Palestin oleh seorang penerbit  lem antarabangsa ketika hadir ke sebuah acara di Hollywood, Amerika Syarikat 15 tahun lalu. 

“Saya amat terkejut dengan tahap kebencian dan sikap perkauman yang mereka tunjukkan terhadap rakyat Palestin. 

“Bertitik tolak daripada saat itu, saya bertekad untuk mengumpul keberanian dan lebih bersuara mengenai penindasan yang dihadapi rakyat negara itu. 

“Apa pun, jika bukan disebabkan sokongan kawan-kawan, yang menjelaskan perkara sebenar berlaku di Palestin, saya mungkin tidak miliki keberanian itu,” katanya. 

Kongsi Kavita, dia pernah menerima amaran daripada pihak Instagram gara-gara kerap berkongsi video mengenai kesengsaraan rakyat Palestin di platform berkenaan. 

Namun, aktres jelita berusia 52 tahun ini tidak goyang, apatah lagi gentar dengan ugutan dan desakan yang diterimanya. 

“Dua kali perkongsian saya mengenai Palestin dipadam dan pernah terima amaran daripada pihak IG yang akan memadam akaun saya di platform tersebut sekiranya saya terus berkongsi kesedaran. 

“Tapi usaha-usaha itu tidak akan menghalang saya untuk terus berkongsi kebenaran. Saya tidak gentar hilang peluang kerja disebabkan bercakap. mengenai Palestin,” ujarnya.

IDAM CAHAYA MATA

DI pertengahan perbualan kami, Kavita ada kongsikan mengenai hasratnya untuk menimang cahaya mata. 

Namun, selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga dengan usahawan kelahiran Itali, Roberto Guiati, pasangan itu setakat ini hanya mampu berharap dan berdoa agar satu hari nanti dikurniakan anak. 

“Kami berusaha dan saya ada melakukan rawatan tertentu, tetapi bukanlah kaedah persenyawaan in-vitro (IVF). 

“Kalau direzekikan, memang saya inginkan anak. Seorang pun jadilah. 

“Suami saya juga begitu, saya pasti dia akan menjadi ayah yang sangat penyayang jika kami dikurniakan cahaya mata satu hari nanti,” kongsinya. 

Dalam pada itu, Kavita bersyukur kerana dikurniakan suami yang penyayang dan memahami. Katanya, dalam perkahwinan mereka, persefahaman dan toleransi menjadi kunci kebahagiaan dan rumah tangga berkekalan. 

“Saya bersyukur, suami memudahkan saya dalam banyak perkara. Kami juga serasi dalam banyak hal. 

“Kami ibarat satu pasukan. Kami simpan banyak impian yang ingin kami kecapi bersama. 

“Yang penting, kami mencintai satu sama lain dan saling menyokong. Contoh, dalam saya bersuara mengenai isu Palestin, dia ada di belakang saya dan kami sependapat mengenai perkara yang sama,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×