PETALING JAYA: Rakaman suara juruterbang pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, tahun lalu berakhir dengan sebutan ‘Ya Allah’ beberapa kali.
Bukti pada kotak perakam suara kokpit (CVR) itu seperti yang terkandung di dalam laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan, setebal 148 muka surat yang disiarkan semalam.
Laporan itu mendedahkan detik-detik cemas dan kali terakhir juruterbang dan pembantunya berkomunikasi dengan menara kawalan di Subang sebelum mendarat.
Pesawat itu diberi kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum nahas itu berlaku.
Situasi itu bermula apabila pembantu juruterbang berkata ‘lift dump unlock, handle illuminated‘ pada pukul 06:48:56.6 (waktu universal terkoordinasi), kemudian disusul bunyi klik pada pukul 06:48:56.9 yang dirakam melalui mikrofon di dalam kokpit.
Bunyi klik itu menunjukkan yang lift dump spoiler pesawat diaktifkan, namun, seminit kemudian, bunyi menyerupai nada amaran lift dump kedengaran selama 1.5 saat.
Kedua-dua juruterbang kemudian merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pesawat sehingga mencetus situasi mengerikan dan menemui ajal.
06:49:00.00
Pembantu juruterbang: “Woah woah woah woah woah woah woah woah. Apa yang sedang berlaku?”
Menurut laporan itu, ketika itu, nada amaran lift dump terus berfungsi hingga akhir rakaman.
Pada 10 saat terakhir, Enhanced Ground Proximity Warning System (EGPWS) memberi amaran minimums, sink rate dan pull up berbunyi.
Berikut ialah detik-detik terakhir dirakam dalam CVR:
06:49:10.2
Pembantu juruterbang: “Oihhh…oihhh…oihh!”
06:49:11.2
Juruterbang: Ya Allah! (menjerit)
06:49:11.2
Pembantu juruterbang: Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! (menjerit)
Semalam, laporan sama menyimpulkan, pembantu juruterbang (second-in-command) yang kemungkinan besar mengaktifkan lift dump spoiler secara tidak sengaja ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat punca utama nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1.
Lift dump spoiler ialah peranti yang mengurangkan komponen angkat pada airfoil iaitu satu permukaan bergarisan arus yang menyebabkan udara mengalir di sekitar permukaannya dengan cara terkawal.
Pada 17 Ogos tahun lalu, negara dikejutkan dengan nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina dan mengorbankan 10 individu termasuk seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.48 petang.
Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.
Pada 15 September tahun lalu, antara penemuan dalam laporan awal nahas pesawat ringan Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina yang dikeluarkan mendapati, tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan. – UTUSAN










