4,324 laman web jual barang tiruan, karya cetak rompak disekat

4,324 laman web jual barang tiruan, karya cetak rompak disekat

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 4,324 laman web yang didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti jualan barangan tiruan pengedaran karya cetak rompak dan penawaran jualan langsung berunsurkan skim piramid diambil tindakan halangan akses sejak 2018.

Tindakan itu hasil kerjasama Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia per­khidmatan internet (ISP) dalam memantau promosi serta pengiklanan perniagaan yang melibatkan transaksi dalam talian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pada masa sama, kerjasama turut diadakan bersama penyedia platform e-dagang untuk menurunkan sebanyak 3,408 iklan yang melakukan kesalahan antaranya jualan barang kawalan melebihi harga diwartakan, jualan barangan tiruan dan penggunaan perkataan no palm oil ke aras produk ter­tentu.

Kata beliau, ia adalah tindakan segera yang boleh diambil ke atas urus niaga dilakukan secara dalam talian bagi melindungi pengguna daripada manipulasi peniaga tidak beretika.

“Dalam pada kita melihat pendekatan jangka masa panjang untuk memperkemas undang-undang sedia ada, kita tidak menunggu sebaliknya turut melakukan tindakan serta-merta melalui dua pendekatan ini.

“Saya berharap pengguna dapat membuat aduan kepada KPDN terhadap apa juga transaksi yang dilihat mempunyai kesalahan dan bertentangan dengan perundangan sedia ada,” katanya selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata, mengambil kira trend kecenderungan pengguna melihat pengiklanan, promosi dan urus niaga dalam talian itu, bagi tempoh tindakan jangka masa panjang, kerangka perundangan sedia ada seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Perdagangan Elektronik 2006 (Akta 658) akan dilihat semula secara menyeluruh bagi meneliti kekurangan yang wujud dan perlu ditambah baik.

“Ini adalah untuk meningkatkan perlindungan kepada pengguna sekali gus mewujudkan perlindungan dalam negeri yang sihat dan progresif. Kita tidak dapat mengelak kerana inilah trend kepenggunaan hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×