KUALA LUMPUR: Pelakon, Riena Diana mengakui memerlukan masa untuk mengenal hati budi Keith Foo yang sejak empat bulan lalu bergelar kekasihnya.
Kata Riena atau nama sebenar, Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, mereka tidak terburu-buru untuk membawa hubungan percintaan ke jenjang pelamin kerana masih terlalu awal untuk berbuat demikian.
“Kami tak merancang lagi untuk berkahwin sebab baru sangat kenal, dalam empat bulan. Sekarang memang dalam proses mengenali satu sama lain.
“Tarikh kahwin pun belum ada lagi, sebab itu saya takut nak cakap lebih-lebih. Kita tak tahu apa yang ada di hadapan.
“Setakat ini, keluarga kami berdua okey (berbeza agama) dan kami pula ambil masa dengan semuanya,” katanya.
Riena ditemui ketika sidang media teater Andak Bertandak di Mafioso Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, pelakon drama Kampung People itu tidak menafikan kelebihan mejalinkan hubungan bersama anak seni kerana boleh dijadikan sebagai rujukan dalam kariernya dan memahami kesibukan jadual masing-masing.
“Mungkin berpasangan dengan orang dalam industri kreatif, dia lebih faham. Keith sudah lama berlakon dan berpengalaman. Jadi, lebih senang untuk saya rujuk apabila saya ada masalah skrip atau lakonan.
“Sekarang kami sama-sama sibuk. Jadi, kalau hendak jumpa, saya datang ke set penggambaran dia atau dia ke tempat shooting saya. Itu sahaja masa kami dapat berjumpa.
“Kami pun selalu sibuk, berjumpa pun di set masing-masing sebab itu kami mahu kenal dahulu untuk cari rentak. Susah juga dengan orang industri sebab tiada masa tetapi ada beberapa kami keluar bersama pergi makan tengahari, malam dan sebagainya,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Riena turut menepis dakwaan kononnya percintaan mereka hanya gimik untuk mempromosikan drama bersiri Salju Rindu yang disiarka di TV3.
“Kami kenal di set drama. Berlaku secara kebetulan sebab saya tidak pernah bekerja dengan Keith.
“Ini kali pertama kami bekerjasama. Kami bersama bukan sebab drama. Doakan yang terbaik.
“Saya takut hendak cakap lebih-lebih. Minta doa yang terbaik sebab sudah tentu dalam setiap hubungan, kita mahu pengakhiran terbaik,” katanya.
Jun lalu, pelakon itu mendedahkan hubungan cinta dengan Keith terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu untuk siaran TV3.
Mengakui mempunyai banyak persamaan, status Keith sebagai duda anak satu juga bukan penghalang. Bagi Riena, apa yang penting, Keith bukan suami orang.
Untuk rekod, Keith pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Kim Raymond pada November 2015, namun sekadar bertahan empat tahun dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun.
Perkembangan terkini, Riena bakal muncul di Teater Andak Bertandak bakal dipentaskan selama empat hari mulai 29 Ogos ini di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Selain Riena turut dibarisi oleh Azhan Rani, Ellie Suriaty, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.









