JOHOR BAHRU: Pertumbuhan ekonomi negara suku kedua yang mencatatkan kadar 5.9 peratus mencerminkan keyakinan pelabur-pelabur luar terhadap potensi Malaysia.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pencapaian itu menunjukkan dasar dan naratif pertumbuhan ekonomi yang diperkenalkan negara kepada dunia selama ini diterima baik.
Sehubungan itu, pihaknya memberitahu kerajaan komited meneruskan momentum pertumbuhan tersebut dengan mempergiatkan lagi usaha menarik pelabur seterusnya mengekalkan keyakinan dan pandangan positif antarabangsa kepada pasaran Malaysia.
“Cabaran kerajaan beri tumpuan ketika ini ialah bagaimana memastikan bukan sahaja naratif dan dasar itu menarik kepada pelaburan dan pertumbuhan tetapi juga menterjemahkan aspek itu dengan segera.
“Jika ini kita dapat lakukan, baharulah momentum pertumbuhan itu dapat diteruskan. Jika ini berlaku, kita akan dilihat sebagai destinasi pelaburan baik di rantau ini dan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Ask Minister Anything Bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang diadakan di Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua yang melebihi unjuran awal 5.8 peratus semalam.
Tambah Rafizi, satu daripada strategi bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi positif itu adalah melalui pelancaran Kerangka Memudahcara Perniagaan.
“Kerangka ini akan turut menyentuh mengenai kecekapan perkhidmatan kerajaan dalam memudahkan urusan perniagaan termasuk pelaburan asing.
“Kementerian Ekonomi telah mengambil masa setahun merancang inisiatif ini dan dan kini ia berada pada peringkat akhir untuk disiapkan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan melancarkan kerangka tersebut pada 4 Oktober ini.











