KUANTAN: Pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) membuktikan kerajaan mempunyai keupayaan kewangan bagi melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam bermula 1 Disember depan.
Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan GiG Ekonomi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ia menzahirkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan penjawat awam yang menjadi jentera penyampaian khidmat kerajaan buat seluruh rakyat.
“Kenaikan gaji membabitkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam ini tentunya menjadi suntikan motivasi kepada pelbagai peringkat dalam jabatan kerajaan untuk terus melakukan lonjakan dalam prestasi kerja mereka secara menyeluruh.
“Apa yang lebih penting, ia bukti kerajaan Pusat ketika ini serius melaksanakan SSPA. Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, selepas 12 tahun terikat tanpa semakan, pelaksanaan SSPA menggantikan SSM mulai 1 Disember ini menyaksikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam mendapat pelarasan gaji baharu selepas kali terakhir disemak pada 2013.
Ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana.
Manakala bagi pengurusan tertinggi penjawat awam, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus berdasarkan pelaksanaan SSPA.
Bagaimanapun, Anwar dilaporkan sebagai berkata, pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama 1 Disember ini manakala fasa seterusnya bermula 1 Januari 2026.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pada 11 Mac 2013, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengenalan sistem saraan baharu penjawat awam dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).
“Melalui STI ini, semua penjawat awam diberi faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320 yang diawalkan pada 1 Julai 2013 manakala berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.
“Selepas itu, tidak ada sebarang semakan atau pelarasan terhadap sistem saraan penjawat awam. Kini, ia dilakukan oleh kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar. Ia merupakan lonjakan besar terhadap penjawat awam dan bukti kerajaan Pusat menepati janji,” katanya.
Mohd. Sharkar dalam pada itu turut menyeru sektor swasta agar mencontohi langkah kerajaan menambahbaik gaji pekerja bagi menghargai produktiviti dan sumbangan pekerja syarikat masing-masing.
“Selain itu, kita juga minta kerajaan segera memantau supaya tidak berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan susulan pengumuman pelarasan gaji melalui pengenalan SSPA. Tidak tegas perlu diambil kepada peniaga yang menaikkan harga barang kerana itu tiada kaitan dengan kos operasi dan perniagaan,” katanya. – UTUSAN










