PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Nenggiri, Gua Musang, esok menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan simbol Pas iaitu bulan masing-masing menampilkan pemimpin muda dalam usaha memikat hati 20,245 orang pengundi di kawasan berkenaan.
Menariknya, Mohd. Azmawi Abd. Ghani dari BN dan Mohd. Rizwadi Ismail (Bersatu) merupakan muka baharu yang belum pernah dibawa masuk ke mana-mana gelanggang pilihan raya kecuali PRK Nenggiri.
Tindakan meletakan Mohd. Azmawi atau Awie itu merupakan percaturan terbaik BN dalam merampas semula kerusi tersebut selepas tumbang dengan hanya 810 undi kepada calon Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) lalu.
Selain itu ia merupakan usaha untuk menebus semula maruah UMNO yang terjejas teruk di ‘negeri tadahan wahyu’ apabila menang satu kerusi DUN iaitu Galas.
Menyedari percaturan BN mampu menggugat misi Bersatu dalam mempertahankan kerusi tersebut, parti itu membuat kejutan dengan menamakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Mohd. Rizwadi atau Ustaz Wadi sebagai calon walaupun difahamkan baru beberapa hari menyertai parti berkenaan.
Difahamkan, 60 peratus daripada jumlah keseluruhan 20,245 orang pengundi adalah orang muda membuat kedua-dua parti meletakan pemimpin muda sebagai calon.
Hal ini kerana, jenama Awie sudah melekat dalam benak fikiran penduduk Nenggiri selepas anak muda itu dilihat ‘ligat’ menjelajah seluruh kawasan itu untuk menghulurkan bantuan semasa negara di serang pandemik Covid-19.
Tidak cukup dengan itu, Awie sering memandu pacuan empat roda sendiri sambil ditemani rakan-rakan untuk turun bertanya khabar tentang masalah Orang Asli di kawasan pedalaman Nenggiri.
Bagaimanapun, sosok tubuh Awie yang mudah mesra selain sikap cakna terhadap penduduk Nenggiri masih belum cukup untuk memikat hati pengundi.
Hal ini kerana masih ada dalam kalangan pengundi lebih cenderung memilih parti berbanding calon walaupun sosok tubuh yang diketengahkan itu layak untuk diangkat sebagai pemimpin.
Andaian itu ada asas berpandukan kepada PRN15 lalu apabila penyandang kerusi DUN Nenggiri dari BN, Ab. Aziz Yusoff telah ditolak walaupun dilihat menunjukkan prestasi terbaik sepanjang menjadi wakil rakyat.
Sedangkan hakikat ketika itu, calon Bersatu, Mohd. Azizi adalah orang baharu, namun disebabkan disebabkan gelombang PN rakyat membuat keputusan menolak BN yang dilihat sudah banyak berjaya kepada penduduk di Nenggiri.
Mengambil kira situasi itu, jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja lebih keras jika mahu menghantar Awie ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memainkan peranan semak dan imbang kepada Kerajaan Kelantan bersama Galas dan Kota Lama.
PRK Nenggiri bukan ujian buat Awie tetapi Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi oleh PH dan BN selepas kalah di PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang sebelum ini.
Sungguhpun begitu dalam memilih calon pemimpin kita perlu melihat kepada ‘pedoman’ orang tua-tua dahulu sebagaimana pantun Melayu lama:
Kalau mencari tempat mandi
pertama teluk, kedua pantai
Kalau mencari pemimpin sejati
Pertama elok, kedua pandai.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia Kelantan.











