PUTRAJAYA: Dua lelaki termasuk seorang bekas pengawal keselamatan yang didapati bersalah merompak RM1.2 juta dan menembak mati rakan sekerja pada 2012, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan semalam menggantikannya dengan hukuman penjara 36 tahun.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap Mohd. Hafizuddin Zainal Abidin (pengawal keselamatan) dan Cheah Cheong Tatt selepas membenarkan permohonan semakan mereka.
Koram berkenaan turut memerintahkan Mohd. Hafizuddin, 37, menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 25 September 2012 dan Cheong Tatt, 35, bermula pada 21 September 2012.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara turut memerintahkan mereka dikenakan 12 sebatan setiap seorang.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad membantah permohonan semakan itu atas alasan kes tersebut melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Mohd. Hafizuddin manakala Ramkarpal Singh yang mewakili Cheong Tatt memohon hukuman mati diketepikan atas alasan anak guam mereka merupakan pesalah pertama serta insaf dengan perbuatan tersebut.
Pada 29 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Taiping mensabit dan menghukum mereka dengan hukuman mati. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 April 2018 dan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 Julai 2021.
Mohd Hafizuddin yang ketika kejadian bertugas sebagai pengawal keselamatan syarikat Safeguards G4S Sdn. Bhd., didapati melakukan kesalahan berjadual iaitu merompak wang tunai RM1.2 juta milik majikannya dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian rakan setugas Hasnul Hafis Saad, 28.
Kejadian berlaku ketika Mohd. Hafizuddin dan mangsa yang juga pemandu van syarikat
keselamatan itu dalam perjalanan pulang selepas memungut wang dari mesin deposit tunai beberapa bank di Taiping, Perak.
Sementara Cheong Tatt yang ketika itu merupakan penyelia syarikat swasta, didapati bersalah bertindak sebagai rakan sejenayah Mohd. Hafizuddin yang mana dia mengetahui pengawal keselamatan tersebut ketika itu memiliki senjata api.
Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di depan pasar raya Giant, Jalan Tekah, Aulong, antara 2 petang dan 3.25 petang pada 18 September 2012.
Dalam kejadian tersebut, mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan empat kesan tembakan di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.
Kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing didakwa mengikut Seksyen 3 dan Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang ketika itu membawa hukuman gantung sampai mati. – UTUSAN










