BAITULMAQDIS: Beberapa pemimpin agama berpengaruh Israel mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menterinya dan ribuan pendatang haram Yahudi yang menceroboh kawasan Masjid Al-Aqsa kelmarin bagi satu upacara keagamaan.
Seorang anggota badan pembuat dasar daripada sebuah parti ultra-Ortodoks dalam gabungan pemerintah Israel, David Cohen, dalam satu kenyataan video berkata, Masjid Al-Aqsa adalah simbol identiti nasional Palestin.
“Mereka adalah penyangak yang memakai pakaian agama. Tindakan mereka hanya menambah ketegangan,” ujarnya.
Seorang lagi pemimpin agama di bandar lama Baitulmaqdis, Avigdor Nebenzahl berpendapat, tindakan memecah masuk kompleks Al-Aqsa adalah dilarang keras dalam kepercayaan agama Yahudi.
Bekas pemimpin agama, Yitzhak Yosef, pula berkata, puak yang menceroboh Masjid Al-Aqsa tidak mewakili semua bangsa Yahudi.
“Saya menyeru kepada dunia, jangan lihat menteri-menteri ini sebagai wakil bangsa Yahudi.
“Majoriti besar orang Yahudi di Israel dan di seluruh dunia tidak menceroboh kawasan tersebut,” ujarnya.
Awal pagi kelmarin, menteri Israel Itamar Ben-Gvir dan Yitzhak Wasserlauf bersama kira-kira 1,200 pendatang haram Yahudi menyerbu kawasan Masjid Al-Aqsa untuk memperingati hari puasa tahunan Yahudi, Tisha B’Av.
Tindakan provokasi itu turut mengundang kecaman pelbagai pihak antaranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perancis dan negara-negara Arab. – AGENSI











