PETALING JAYA: Polis menumpaskan sekumpulan lelaki terlibat kegiatan mencuri kabel di Jalan Puncak Saujana, Taman Puncak Saujana, Kajang dekat sini semalam selepas dua lelaki ditahan.
Satu laporan polis diterima pukul 6.39 pagi semalam berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, susulan itu, kenderaan peronda polis (MPV) digerakkan ke kawasan berkenaan sebelum mereka terserempak dengan kenderaan suspek iaitu sebuah lori dan sebuah Proton Wira dinaiki kira-kira lima lelaki.
“Ketika diminta memberhentikan kenderaan mereka, suspek terus memecut laju dan dikejar MPV terbabit, sehingga lori berkenaan dapat ditahan di Jalan 2/9A Seksyen 2, Bandar Baru Bangi.
“Dalam kejadian itu, kami berjaya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 18 dan 20 tahun, manakala beberapa suspek lain dapat melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nazron berkata, pihaknya merampas beberapa peralatan mencuri kabel selain dua gulung kabel hitam serta 48 wayar kabel bersama tiga parang.
Kata beliau, semakan dilakukan mendapati suspek yang ditahan masing-masing mempunyai empat rekod jenayah serta disahkan positif dadah jenis amphetamine dalam ujian awal saringan air kencing.
“Kedua-dua lelaki itu direman selama tiga hari bermula semalam sehingga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan, manakala suspek yang masih bebas pula sedang dikesan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” jelasnya. – UTUSAN










