KLUANG: Parti Amanah Negara (Amanah) bertegas dengan pendirian bersedia untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada 28 September depan sehingga pucuk pimpinan membuat keputusan tentang perkara berkenaan.
Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd Zuhan Mohd. Zain dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook Amanah Kluang berkata, Johor bukan negeri Kerajaan Perpaduan
“Kami hanya berkawan dan duduk secara harmoni di dalam rumah yang berlainan,” tulisnya.
Justeru, beliau menggesa Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar berbincang dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) berkaitan isu berkenaan.
“Fokuskan isu Kerajaan Perpaduan di Johor secara tuntas kemudian kita buat keputusan siapa calon DUN Mahkota.
“Selain itu, saya menyeru agar pucuk pimpinan duduk bersama berbincang bukannya melatah, buat apa melatah, kami pemimpin kecil daripada kawasan sahaja. Suara saya adalah suara akar umbi Amanah Kawasan Kluang,” tambahnya.
Mohd Zuhan turut berpesan supaya semua pemimpin yang ingin memberi maklum balas tentang tuntutan DUN Mahkota agar membaca dan mendengar sepenuhnya apa yang disebut, bukan membaca dan mendengar separuh.
“Semua pimpinan harus lebih bijak agar Perikatan Nasional (PN) tidak mengambil kesempatan ke atas isu dalaman kita,” katanya mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tidak terburu-buru membuat keputusan berkaitan calon Barisan Nasional (BN) akan bertanding dalam PRK DUN Mahkota.
“Beliau menyatakan kami tuntut kerusi BN, kenyataan itu tidak tepat kerana di Johor belum ada Kerajaan Perpaduan. Bincang pun belum macam mana dah ada keputusan,” tulisnya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN











