PETALING JAYA: Penasihat kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI), Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, berkuat kuasa, esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, pelantikan Maimunah itu akan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan Kuala Lumpur.
Maimunah, 63, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.
Maimunah juga mempunyai pengalaman yang luas malah pernah menjadi Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, selama enam tahun.
“Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
“Dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti, beliau adalah individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan.
“Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Secretary-General’s Task Force on the Future Cities dan Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition,” katanya. – UTUSAN










