PRK Mahkota: PN serah tiga nama kepada pucuk pimpinan - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: PN serah tiga nama kepada pucuk pimpinan

SAHRUDDIN Jamal (tengah) bersama Abdullah dan Teo Kok Chee (kanan) menunjukkan sampul yang mengandungi senarai tiga nama calon selepas mesyuarat PN di Pejabat Bersatu Kluang di Taman Saujana, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Perikatan Nasional (PN) Johor akan menyerahkan senarai tiga nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kepada pucuk pimpinan parti selewat-lewatnya minggu ini. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kesemua calon tersebut adalah anak tempatan itu akan diteliti dan dinilai sebelum dimuktamadkan pucuk pimpinan pusat gabungan berkenaan.

“Alhamdulillah, calon kami sudah ada. Setakat ini ketiga-tiganya lelaki, ada yang pernah bertanding dan ada juga  yang baharu pertama kali bertanding.

“Kami daripada tiga parti komponen, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Pas akan bekerjasama untuk memenangkan calon PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang di Taman Saujana, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan Gerakan Johor, Datuk Teo Kok Chee;  Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Bendahari PN Johor, Datuk Mohd. Rashid Hasnon. 

Sahruddin yang juga Pengerusi Bersatu Johor  yakin peralihan sokongan rakyat kepada PN berikutan beberapa isu besar seperti kenaikan harga barang. 

“Saya yakin di DUN Mahkota akan berlaku ‘swing’ atau peralihan sokongan rakyat kepada PN meskipun di Johor, Barisan Nasional (BN) memiliki 40 kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN). Ia berdasarkan sentimen isu-isu semasa termasuk kenaikan harga barang, diesel dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya. 

Bekas Menteri Besar Johor itu menambah, persiapan rapi sudah dilakukan PN Johor untuk menghadapi PRK DUN Mahkota termasuk di bahagian angkat di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September,  manakala hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang akibat mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan meraih 16,611 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi, calon PN, Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×