Polis Perak tidak kompromi kegiatan ah long - Utusan Malaysia

Polis Perak tidak kompromi kegiatan ah long

AZIZI Mat Aris dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak memandang serius kegiatan sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ah long dan sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersubahat di sebalik ceti haram itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka termasuk membuat tangkapan seterusnya pendakwaan di mahkamah.

Katanya, tindakan sindiket berkenaan berlagak ‘ala samseng’ untuk memungut hutang dengan cara membuat ugutan dikhuatiri akan membawa kepada perlakuan jenayah lain.

“Sebelum ini, laporan yang kita terima daripada peminjam kebiasaannya berkaitan tindakan ah long mengugut dengan cara menyimbah cat merah di kereta atau pagar rumah.

“Bagaimanapun, trend itu kini berubah apabila mereka bertindak ganas dengan membakar dan memecah masuk rumah peminjam.

“Malah, kejadian terbaru pada 8 Ogos lalu di Ayer Tawar, Manjung membuktikan bahawa sindiket itu mampu bertindak kejam apabila sanggup mencederakan peminjam dan keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi memerangi kegiatan itu, operasi akan diadakan dengan penglibatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan ketua-ketua polis balai.

Katanya, operasi bersepadu melibatkan agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan digerakkan di semua daerah di Perak.

“Kita memang berazam untuk hapuskan terus kegiatan ceti haram ini terutama yang menggunakan kekerasan dengan melakukan gangguan, ugutan atau khianat kepada peminjam bagi mendapatkan semula hutang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan pinjaman wang daripada institusi perbankan dan institusi kewangan berlesen.

“Seperti kita sedia maklum, kegiatan ah long ini sukar dilumpuhkan dan makin berleluasa kerana terdapat permintaan tinggi daripada masyarakat sendiri.

“Jika hanya pihak polis sahaja berusaha tanpa kerjasama erat masyarakat, usaha ini tidak akan berjaya. Jadi, kita minta mereka agar tidak terlibat dengan ah long sebaliknya mendapatkan pinjaman melalui saluran yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×