DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat dalam pembunuhan dan keganasan di negara tersebut bulan lepas.
Itu merupakan kenyataan pertama daripada beliau sejak protes anti-kerajaan memaksa beliau untuk meletak jawatan dan melarikan diri ke India.
Hasina mengeluarkan komen tersebut di laman sosial X milik anaknya, dibuat beberapa jam selepas mahkamah mengarahkan siasatan dilakukan terhadapnya berkenaan dakwaan peranan beliau dalam kematian seorang pemilik kedai runcit semasa protes berlangsung.
“Saya menuntut mereka yang terlibat dalam pembunuhan dan keganasan ini disiasat dengan sewajarnya dan pesalah yang dikenal pasti dapat dihukum sewajarnya,” katanya.
Selain Hasina, dua anggota kabinetnya iaitu bekas Menteri Undang-Undang, Anisul Haq dan penasihat Hasina, Salman F Rahman juga turut ditahan kerana didakwa menghasut pembunuhan dua orang, kata polis pada Selasa.
Hasina dituduh terlibat dalam pembunuhan seorang peniaga runcit,Abu Saeed yang terkena peluru polis yang melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di kawasan Mohammadpur di Dhaka pada 19 Julai lalu.
Sebanyak 300 orang terkorban dalam demonstrasi yang bermula sebagai bantahan terhadap kuota pekerjaan tetapi berkembang menjadi gerakan yang menuntut perletakan jawatan Hasina.
Hasina serta menteri kabinet dan Setiausaha parti Liga Awami juga tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai dakwaan itu.
Pemimpin pelajar Bangladesh, Nahid Islam yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan sementara berkata bahawa Hasina harus menghadapi perbicaraan atas pembunuhan itu yang berlaku semasa pemerintahannya.
Menurut anaknya, Hasina merancang untuk kembali ke Bangladesh apabila kerajaan sementara memutuskan untuk mengadakan pilihan raya. -AGENSI










