JOHOR BAHRU: KPJ Healthcare Berhad mengumumkan penjenamaan semula Hospital Pakar KPJ Johor, di sini sebagai Hospital Pakar Johor.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, Hospital Pakar Johor adalah yang pertama daripada 29 rangkaian hospital KPJ yang memperkenalkan identiti jenama baharu kumpulan itu secara rasmi.
Katanya, penjenamaan semula itu merupakan permulaan baharu untuk hospital tersebut meneruskan legasi di samping menampilkan identiti yang lebih moden.
“Selama lebih empat dekad, Hospital Pakar Johor bukan sahaja telah merawat ramai pesakit, malah juga meletakkan penanda aras dalam inovasi dan kecemerlangan penjagaan kesihatan di rantau ini.
“Hospital kami sentiasa menjadi peneraju dalam inovasi perubatan yang telah terbukti, sewajarnya hospital ini menzahirkan identiti baharu KPJ. Ini melambangkan evolusi dan komitmen baharu KPJ Healthcare,” katanya pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Hospital Pakar Johor, di sini yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr. Ismail Bakar.
Pada majlis berkenaan turut dirasmikan Makmal Endoskopi yang mencerminkan komitmen KPJ Healthcare dalam mengadaptasi teknologi baharu.
“Kemudahan ini sekali gus dapat meningkatkan keupayaan hospital untuk menyediakan perkhidmatan diagnostik dan rawatan lanjutan bagi memastikan pesakit menerima penjagaan yang terbaik. Elemen utama inisiatif penjenamaan semula ini ialah untuk memberi keutamaan kepada pengalaman pesakit sepanjang mereka mendapatkan rawatan di hospital ini,” jelasnya.
Sejak KPJ Healthcare ditubuhkan pada 1981, ia telah menjadi kumpulan penjagaan kesihatan pertama yang melepasi paras pendapatan RM1 bilion pada 2007.
Selain itu, KPJ Healthcare juga merupakan kumpulan penjagaan kesihatan pertama yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dan merupakan yang pertama memperkenalkan REIT Penjagaan Kesihatan Islam di dunia. – UTUSAN










