JEMPOL: Memilih berbakti dan tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya, seorang lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir kini mengusahakan perniagaan bahulu telur itik di Simpang Bahau, Batu Kikir di sini, sejak dua tahun lalu.
Anak bongsu daripada dua beradik itu, Shahira Mazli, 27, berkata, pada mulanya, dia dan ibu bapanya, Siti Esah Baharudin, 55, serta Mazli Muen, 54, hanya mampu menjual sebekas bahulu sabut telur itik dalam sehari.
Namun kini, katanya, jualan boleh mencecah sehingga 100 bekas sehari iaitu lebih 3,000 biji dengan dibantu tiga pekerja yang membakar bahulu lima hari dalam seminggu.
“Kadangkala jualan capai 150 bekas apabila cuti hujung minggu Jumaat hingga Ahad. Namun tidak semua boleh makan telur itik, jadi saya turut sediakan bahulu telur ayam.
“Bagaimanapun, apabila pelanggan sudah rasa bahulu telur itik yang lebih lembut, mesti mereka mengakui kesedapannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Shahira berkata, jika mengikut resepi asal bahulu orang dahulu, mereka menggunakan telur itik kerana lebih sedap, lemak dan dimasukkan kayu manis, vanila serta buah oren untuk menjadikannya lebih enak.
“Bahulu ini dibakar menggunakan sabut, jadi ia lebih sensitif. Kayu bakar tidak boleh basah dan pernah tempat ini dilanda ribut semasa menerima tempahan, jadi tempahan itu terpaksa kami batalkan.
“Saya menjual bahulu telur itik ini setiap hari selain menjamu air serta memberi peluang pelanggan untuk makan dan mencubanya secara percuma,” katanya. – UTUSAN







