ANKARA: Seorang lelaki bertopeng memakai topi keledar dan jaket kalis peluru menikam sekurang-kurangnya lima orang dalam kejadian di luar sebuah masjid di barat laut Turkiye, semalam.
Suspek berusia 18 tahun, yang bersenjatakan pisau panjang, menyiarkan serangan di taman dekat sebuah masjid di bandar Eskisehir, secara langsung di platform X.
Beberapa agensi media melaporkan tujuh orang cedera dalam serangan itu.
“Penyerang itu berpakaian seperti watak dalam permainan video, dengan kapak di pinggangnya, memakai jaket kalis peluru dan topi keledar, mukanya bertopeng,” lapor laman web Eskisehir Durum.
Imej yang diambil juga menunjukkan pelaku memakai cermin mata di atas topengnya, menyembunyikan wajah sepenuhnya.
Beberapa laman berita mendakwa, dia juga memakai lambang Swastika iaitu simbol Nazi di dadanya.
Penyerang tidak menjerit atau menyatakan sebarang ayat motivasi bagi tindakannya, namun akhbar tempatan Cumhuriyet mendakwa dia dipengaruhi oleh permainan perang tanpa menjelaskan secara terperinci.
Menurut saksi, dia kelihatan menyasarkan perhatiannya terhadap sekumpulan lelaki yang sedang berbual sebelum menikam salah seorang daripada mereka.
Suspek kemudian mengejar dan menikam seorang lagi mangsa.- AGENSI










