Jokowi adakan mesyuarat Kabinet pertama di Nusantara

Jokowi adakan mesyuarat Kabinet pertama di Nusantara

HAMPIR semua 34 menteri Kabinet menghadiri mesyuarat hari ini, termasuk Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang akan mengambil alih jawatan Presiden pada 20 Oktober depan.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPAKU: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengadakan mesyuarat pertama Kabinet di ibu negara baharunya Nusantara hari ini, bagi membincangkan pembangunan kawasan pentadbiran itu serta peralihan kepimpinan sebelum beliau melepaskan jawatan pada Oktober ini.

Hampir semua 34 menteri Kabinet menghadiri mesyuarat termasuk Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang akan dilantik sebagai Presiden baharu pada 20 Oktober depan.

Mesyuarat itu yang disiarkan secara langsung turut memperlihatkan usaha Jokowi untuk meyakinkan pelabur bahawa projek mega bernilai AS$32 bilion (RM142 bilion) di Nusantara masih berada di landasan yang betul sebelum penggal pemerintahannya berakhir.

Jokowi berkata, beliau yakin pelaburan asing akan muncul dengan Prabowo, akan terus komited kepada projek tersebut.

“Saya akan berusaha meneruskan pembangunan Nusantara selagi boleh walaupun kami sedar pembinaan ibu negara ini adalah satu tugas yang lama dan sukar,” kata Prabowo kepada wartawan sebelum mesyuarat bermula.

Pembangunan di Nusantara berdepan pelbagai masalah antaranya kelewatan dari pihak kontraktor serta kekurangan pelaburan asing.

Jokowi pada mesyuarat itu turut menekankan kepentingan Nusantara sebagai ibu negara Indonesia.

“Nusantara adalah kanvas di mana kita boleh melakar masa depan. Bukan semua negara mempunyai peluang atau kemampuan untuk membina ibu negara dari awal,” katanya.

Ibu negara baharu Indonesia itu dibina di kawasan hutan di Borneo, kira-kira 1,200 kilometer dari Jakarta berikutan populasi yang terlalu padat di bandar raya berkenaan serta kemungkinan ia akan tenggelam menjelang tahun 2050.

Lokasi itu dianggap strategik dan akan mempromosikan pembangunan yang lebih seimbang di negara terbesar di Asia Tenggara ini.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×