SYDNEY: Australia hari ini mengumumkan menandatangani perjanjian membolehkan pertukaran bahan dan maklumat sulit nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain, langkah penting memperkuatkan pasukan tentera laut negara ini dengan kapal selam bertenaga nuklear.
Perjanjian itu menyaksikan ketiga-tiga negara bersetuju kepada peraturan keselamatan pemindahan bahan dan kepakaran nuklear dari AS dan UK sebagai sebahagian daripada perjanjian keselamatan AUKUS 2021.
AUKUS, yang melibatkan rancangan membina kapal selam bertenaga nuklear untuk Australia dan membangunkan senjata berkeupayaan canggih, dilihat mampu menyaingi kemampuan ketenteraan China yang aktif di rantau Pasifik.
“Perjanjian ini adalah langkah penting menuju perolehan kapal selam bertenaga nuklear yang dilengkapi senjata konvensional untuk Tentera Laut Diraja Australia,” kata Menteri Pertahanan Australia dan Timbalan Perdana Menteri, Richard Marles seperti laporan agensi berita CNA.
Marles berkata, pemilikan kapal selam bertenaga nuklear oleh Australia akan memperkuatkan keupayaan tenteranya, sambil menegaskan Canberra tidak bercita-cita untuk memiliki senjata nuklear.
Perjanjian terbaharu yang ditandatangani di Washington minggu lalu dan dibentangkan di Parlimen Australia hari ini, menyaksikan satu klausa yang mewajibkan negara ini melindungi rakan-rakannya daripada sebarang liabiliti terhadap risiko nuklear daripada bahan yang dihantar ke Canberra.
Menurut perjanjian tersebut, bahan nuklear untuk penggerak kapal selam akan dipindahkan dari AS atau Britain dalam bentuk unit yang dikimpal.
Namun, Australia akan bertanggungjawab dalam hal penyimpanan dan pelupusan bahan api nuklear yang telah digunakan serta sisa radioaktif daripada unit kuasa nuklear yang dipindahkan di bawah perjanjian berkenaan. – AGENSI










