KURSK: Pasukan tentera Ukraine dilapor berjaya menceroboh sejauh 30 kilometer ke wilayah Russia, kemaraan paling jauh sejak konflik antara dua negara itu bermula pada Februari 2022.
Kementerian Pertahanan Russia menyatakan, tenteranya berjaya menyekat kemaraan pasukan bersenjata Ukraine berhampiran Kampung Tolpino dan Obshchy Kolodez, ketika serangan di wilayah Kursk memasuki hari keenam.
Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova, menuduh Kyiv sengaja menakut-nakutkan penduduk di sekitar Kursk.
Rakaman di internet yang disahkan oleh BBC, memaparkan anggota tentera Russia melancarkan serangan balas berhampiran Kampung Levshinka, kira-kira 25 kilometer dari sempadan.
Tentera Ukraine pula mendakwa berjaya menawan beberapa penempatan di Kampung Guevo, wilayah Kursk apabila mendedahkan satu rakaman anggotanya menurunkan bendera Russia dari sebuah bangunan pentadbiran.
Satu rakaman lain memaparkan tentera Ukraine menawan bangunan pentadbiran di Sverdlikovo dan Poroz, sementara pertarungan sengit dilaporkan berlaku di Sudzha, sebuah bandar dihuni kira-kira 5,000 penduduk.
Tentera Ukraine juga dilapor merampas sebuah kemudahan gas utama yang terlibat dalam transit gas asli dari Russia ke Kesatuan Eropah melalui Ukraine, yang terus beroperasi walaupun perang berterusan.
Di wilayah Sumy yang bersempadan dengan wilayah Kursk, wartawan BBC menyaksikan konvoi kenderaan berperisai dan kereta kebal Ukraine bergerak menuju Russia.
Gambar yang dianalisis oleh BBC Verify juga menunjukkan Russia membina garis pertahanan baharu berhampiran Loji Nuklear Kursk. – AGENSI










