PETALING JAYA: Pensijilan halal membantu Addin Nusantara Enterprise menerusi produknya, Kopi Kunyit Hitam Ekstrak Kurma dipasarkan dengan lebih jauh setelah memiliki pensijilan itu daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pada 2022.
Pengurus Operasinya, Nurma Deen berkata, pensijilan yang diperolehi membantu produk untuk dipasarkan dengan lebih yakin.
“Sijil ada orang lebih yakin untuk membeli dan lebih yakin untuk promosikan dan berkongsi dengan orang ramai berkenaan produk.
“Halal yang diperolehi ini juga dapat meyakinkan saya untuk mempromosikan dan berkongsi produk dengan ramai orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Nurma, pihak menyedari kepentingan mendapatkan sijil itu untuk mengukuhkan jenama produk.
“Terdapat pihak yang mempertikaikan produk saya kerana tiada pengesahan daripada mana-mana agensi ketika mula dipasarkan.
“Bermula daripada itu, saya mula berusaha untuk mendapatkan sijil-sijil berkaitan seperti kimia, halal dan sebagainya.
“Sejak itu, produk saya mudah untuk berurusan untuk meluaskan pasarannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurma turut mengajak usahawan bumiputera lain untuk mendapatkan sijil halal bagi produk mereka.
“Sebagai usahawan kita harus berusaha untuk mendapatkan halal walaupun kos yang tinggi untuk peniaga kecil seperti kami.
“Bila kita mula untuk melangkah jauh, orang akan pertikai produk dari segi bahan yang kita gunakan.
“Oleh itu, pensijilan halal yang diperolehi akan membuatkan orang lebih yakin untuk membeli produk kita,” jelasnya.-UTUSAN










