PETALING JAYA : Tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap mana-mana akaun keldai sekiranya Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang, diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ketika ini adalah amat sukar untuk mendapatkan keterangan bagi mendapatkan sabitan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana ketiadaan pengecaman oleh mangsa terhadap suspek yang ditangkap oleh polis terutamanya keldai akaun bank.
Menurut beliau, osebelum ini ramai suspek keldai akaun diberi arahan tuduh oleh Timbalan Pendakwa Raya mengikut kesalahan umum seperti Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu melindungi harta dengan curang atau Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu gagal memberi keterangan terhadap sesuatu harta.
“Melalui Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai 2024 lalu, isu siasatan berkait penggunaan akaun keldai ini akan dapat diperkasakan.
“Seterusnya, pada 22 Julai lalu, kedua-dua RUU ini dibentang dan diluluskan Dewan Negara. Alhamdulillah, perkembangan ini adalah satu langkah yang amat positif,” katanya di sini.
Ramli berkata, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara atas keputusan yang dicapai.
“PDRM percaya, setelah diwartakan kelak, undang-undang ini akan menjadi satu mekanisme berkesan dalam usaha menangani penggunaan keldai akaun sekaligus mengurangkan berlakunya jenayah penipuan.
“Sebagai makluman, pindaan undang-undang ini melibatkan penambahan beberapa peruntukan tambahan merangkumi Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D Kanun Keseksaan.
“Peruntukan ini adalah berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan akaun keldai termasuklah memiliki, mengawal menyerahkan dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang kaedah pembayaran,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi pindaan Kanun Tatacara Jenayah akan melibatkan penambahan peruntukan Seksyen 116D yang bakal memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang dari Sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesan terdapat penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang memberi kebenaran kepada sindiket penipuan dalam talian untuk menggunakan akaun bank mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pelajar terbabit berdasarkan pindaan Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman terhadap pemegang akaun bank jika membenarkan pihak ketiga menggunakannya.
Ada kes membabitkan pelajar universiti yang membenarkan akaun mereka, instrumen pembayaran dan kad, digunakan oleh sindiket penipuan. – UTUSAN










