PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan pendirian untuk terus menuntut kuota representasi Sabah dan Sarawak agar tidak kurang daripada satu pertiga kerusi Dewan Rakyat.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, pemulangan semula semangat representasi Dewan Rakyat melalui peruntukan tidak kurang daripada satu pertiga kerusi perlu dilakukan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada masa ini, Sabah dan Sarawak hanya menerima 56 kerusi atau 25 peratus daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Beliau berkata, UPKO juga mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meneliti semula semua pindaan Perlembagaan Persekutuan atau pengwujudan Rang Undang-Undang Persekutuan yang telah dibuat dan memberi kesan kepada Sabah tanpa mendapat persetujuan daripada DUN.
“Ini juga akan menjadi pendirian tegas dan pendirian rasmi parti kita sepanjang masa. Kita juga akan terus mengambil pendirian-pendirian tegas bertempat yang konsisten dalam perkara-perkara berkaitan MA63, Perlembagaan Persekutuan, tadbir urus negara dan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat.
“Penubuhan Malaysia ini mempunyai syarat sepertimana dimeterai dalam MA63. Itu sebabnya parti kita akan terus bertegas mempertahankan syarat-syarat yang telah dipe seperti kebebasan beragama, tanah-tanah di Sabah dikuasai oleh kerajaan Sabah dan penghormatan kepada adat istiadat rakyat Sabah,” katanya semasa ucapan dasar pada Konvensyen Nasional UPKO di Pusat Kebudayaan Sabah, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, dalam perkongsian hasil persekutuan di Sabah, hak 40 peratus merupakan syarat yang telah ditetapkan semasa penubuhan Malaysia.
Kata beliau, hak 40 peratus berlainan dengan peruntukan emolumen dan pembangunan yang telah ditetapkan dalam belanjawan tahunan kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
Ahli Parlimen Penampang berkata, dalam konvensyen berkenaan, UPKO turut menetapkan resolusi menolak sebarang propaganda luar yang mahu menuntut Sabah. Negeri Sabah adalah wilayah yang berdaulat.










