Kebakaran ragut 3 nyawa diklasifikasi kes bunuh

Kebakaran ragut 3 nyawa diklasifikasi kes bunuh

AZMAN MOHAMED NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kes kebakaran yang meragut tiga sekeluarga di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh dekat sini, kelmarin diklafikasikan sebagai bunuh, khianat dengan api dan mendatangkan kecederaan parah.

Malah difahamkan, punca kematian terhadap kanak-kanak yang terkorban bersama datuk dan neneknya dalam kebakaran itu dipercayai akibat ketukan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, polis membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Katanya, hasil bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa iaitu Noradriana Nor Hasyim, 11, datuk dan neneknya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta Ara Abdul Hamid, 76, mendapati ada unsur jenayah.

Berikutan itu katanya, polis sedang mengesan anak warga emas tersebut iaitu Azman Mohamed Nor, 48, bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Lelaki ini dipercayai melarikan diri selepas kejadian kebakaran dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Noradriana serta datuk dan neneknya terkorban selepas rumah mereka terbakar.

Kejadian malang itu turut menyebabkan seorang lagi mangsa, Norazima Mohd. Radhi, 14, yang merupakan cucu warga emas itu mengalami kecederaan pada kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Difahamkan lelaki terlibat memukul ahli keluarganya sebelum bertindak membakar rumah mereka. Seorang daripada mangsa yang juga anak saudara lelaki berkenaan sempat melarikan diri.

Lelaki berkenaan yang masih bujang juga dikatakan mengalami masalah mental.

Sementara itu, bapa Noradriana, Nor Hasyim Mohd. Taher, 43, yang memperoleh keputusan bedah siasat selepas membuat proses pengecaman di Unit Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini berkata, ada kesan ketukan di kepala anaknya itu selain mukanya hancur.

“Kita juga masih tak tahu punca sebenar, kesan kebakaran dekat dia tak teruk sangat,” katanya ketika ditemui selepas pengkebumian arwah anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh.

Dalam pada itu, Nor Hasyim berkata, jenazah ibu dan bapa mentuanya belum dikebumikan berikutan perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ujarnya, keadaan mayat kedua-dua orang tuanya itu rentung 80 peratus dan menyukarkan pihak hospital memastikan mayat mangsa.

“Berdasarkan maklumat daripada hospital paling lewat pun selama tujuh hari untuk menentukan DNA tersebut. Hari ini (semalam) ahli keluarga terdekat akan diambil darah untuk melalui proses padanan DNA,” katanya.

Sementara itu, menurut jiran mangsa yang dikenali Rozana, ketika kejadian, anak tiri Nor Hasyim iaitu Norazima, 14, yang turut menjadi mangsa sempat menyelamatkan diri selepas dipercayai dipukul bapa saudaranya.

“Ketika itu saya membantu penduduk kampung dan pasukan untuk mencari punca air berdekatan, namun tiba-tiba saya dipeluk Norazima dalam keadaan menangis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×