TEHERAN: Iran didakwa sedang melatih puluhan anggota tentera Russia untuk menggunakan sistem peluru berpandu balistik jarak dekat, Fath-360.
Menurut dua sumber perisikan Eropah, negara itu dijangka menghantar ratusan senjata yang dipandu satelit tersebut ke Russia, untuk kegunaan perang dengan Ukraine dalam masa terdekat.
Wakil Kementerian Pertahanan Russia dipercayai menandatangani kontrak di Teheran pada 13 Disember tahun lepas, untuk pembelian Fath-360 dan peluru berpandu balistik Ababil, yang dibangunkan oleh Organisasi Industri Aeroangkasa (AIO) milik kerajaan Iran.
Peluru berpandu Fath-360 mampu bergerak sejauh 120 kilometer (km) dengan bahan letupan seberat 150 kilogram (kg).
Pakar tentera berkata, Moscow memiliki peluru berpandu balistik sendiri, tetapi bekalan Fath-360 membolehkan Russia menggunakan lebih banyak senjata untuk sasaran di luar barisan hadapan, sambil menggunakan kepala peledak Iran untuk sasaran jarak dekat.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, Washington dan sekutunya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Kumpulan Tujuh (G7) sedia memberikan tindak balas pantas dan tegas jika Iran mahu meneruskannya.
“Penghantaran senjata ini menunjukkan pertambahan sokongan Iran terhadap tindakan Russia menceroboh Ukraine.
“White House berulang kali memberi amaran mengenai kerjasama keselamatan yang semakin mendalam antara Russia dan Iran sejak bermulanya pencerobohan Moscow di Ukraine,” katanya.
Iran adalah satu daripada sekutu terdekat Russia di pentas antarabangsa dengan kedua-dua negara dilihat memperkukuhkan kerjasama ketenteraan dan politik sejak permulaan pencerobohan besar-besaran ke Ukraine pada Februari 2022.
Teheran membekalkan ribuan unit dron Shahed kepada Russia sejak permulaan konflik berkenaan, selain sejumlah besar peluru berpandu balistik permukaan ke permukaan untuk membantu pencerobohan Moscow.- REUTERS







