NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mahu kembali ke negaranya apabila kerajaan sementara memutuskan untuk mengadakan pilihan raya.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak lelaki Hasina, Sajeeb Wazed Joy yang muncul buat kali pertama sejak ibunya melarikan diri ke India selepas tersingkir sebagai Perdana Menteri.
Menurut Sajeeb Wazeb yang berada di Amerika Syarikat (AS) berkata, buat masa ini ibunya akan berada di India, sehingga kerajaan sementara mengadakan pilihan raya baharu.
Bagaimanapun, Sajeeb tidak menyatakan sama ada Hasina akan bertanding dalam pilihan raya tersebut.
“Ibu saya akan bersara daripada politik selepas penggal semasa. Saya tidak pernah mempunyai cita-cita politik dan kini menetap di AS.
“Tetapi perkembangan di Bangladesh sejak beberapa hari lalu menunjukkan terdapat kelompongan kepimpinan. Saya terpaksa bergiat aktif demi parti dan berada di barisan hadapan,” katanya kepada akhbar Times of India.
Hasina, 76, melarikan diri ke India pada Ogos lepas selepas berminggu-minggu protes ganas di seluruh Bangladesh yang memaksanya untuk meletakkan jawatan.
Susulan itu, kerajaan sementara yang dipimpin pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mengangkat sumpah kelmarin, yang akan ditugaskan untuk mengadakan pilihan raya.
Parti Liga Awami yang pimpinan Hasina tidak menyertai kerajaan sementara, berikutan pemberontakan pelajar terhadap bekas perdana menteri yang lama berkuasa di negara itu.
Demonstrasi besar-besaran di seluruh negara mengakibatkan kira-kira 300 orang terbunuh dan ribuan yang lain cedera.- REUTERS











