SAUDARA PENGARANG,
2024 merupakan tahun yang dipenuhi dengan pilihan raya. Dimulai dari Pilihan Raya Presiden di Indonesia, India, Perancis dan menjelang hujung tahun ini pula, Amerika Syarikat (AS).
Pilihan raya pada kali ini tertumpu kepada pertarungan antara Naib Presiden, Kamala Harris dan bekas Presiden, Donald Trump. Meskipun pada awalnya Joe Biden dilihat bakal mempertahankan jawatan presiden yang dimenanginya pada 2020, namun beliau terpaksa menarik diri akibat dikritik oleh ramai pihak susulan daripada prestasi merundum yang ditampilkannya dalam debat perdana pada awal bulan lalu disamping ketidakmampuan memimpin negara kuasa besar itu lagi.
Umum ketahui bahawa pilihan raya ini selalunya melibatkan pertempuran antara dua parti umum iaitu Parti Republikan dan Parti Demokrat.
Ada beberapa calon lain yang bertanding pada pilihan raya kali ini, namun calon bebas yang perlu diberi perhatian oleh warga AS ialah Robert F. Kennedy Jr. yang bertanding atas tiket calon bebas.
Beliau datang daripada dinasti keluarga yang dihormati iaitu ayahnya, Bobby Kennedy merupakan Peguam Negara pada era pentadbiran John F. Kennedy dan pernah bertanding sebagai calon presiden pada 1968 manakala bapa saudaranya, John F. Kennedy pula adalah Presiden AS dan berkhidmat dari 1961 hingga kematiannya pada 1963 akibat dibunuh.
Robert atau mesra dipanggil RFK JR berusia 70 tahun merupakan seorang peguam alam sekitar selain turut dikenali sebagai aktivis antivaksin yang didakwa seringkali menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai vaksin ketika ancaman Covid-19.
Selain dilabel media arus perdana sebagai sosok yang mempromosikan teori konspirasi yang melibatkan sistem kesihatan awam terutamanya berkaitan dengan vaksin Covid-19, Robert dijangka mampu menarik undi daripada pengundi konservatif dan liberal.
Beliau juga berpandangan, beberapa isu di AS agak tidak konsisten. Misalnya, lantang mempertahankan tindakan wanita menggugurkan anak dalam kandungan manakala dalam isu imigrasi, Robert berpendapat ia merupakan isu kemanusiaan yang perlu ditangani dengan penggunaan teknologi sepenuhnya seperti kamera.
Di samping itu, beliau lantang mengkritik polisi Donald yang merancang membina dinding di sepanjang sempadan negara tersebut selain mengkritik pentadbiran Joe Biden yang dilihat gagal menangani krisis imigrasi yang semakin teruk.
Walaupun kemungkinan untuk menang dalam pilihan raya kali ini dilihat agak sukar, tetapi mengapa tidak berikan peluang kepada calon bebas yang mewakili blok ketiga untuk memenangi pilihan raya pada November ini, kerana rakyat AS sudah bosan dan muak melihat ahli politik yang tidak habis-habis berpolitik selain tidak bekerja sepenuhnya untuk rakyat.-UTUSAN
NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
Kuala Lumpur










