Dua ditahan miliki senapang patah, 15 peluru hidup tanpa lesen

Dua ditahan miliki senapang patah, 15 peluru hidup tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis merampas satu laras senapang patah dan 15 butir peluru hidup selepas menahan dua lelaki di tepi jalan di Sungai Lalang, Bedong di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang membuat pemeriksaan selepas mendapati dua lelaki berumur 35 dan 58 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan URB itu sedang membuat tugas rondaan pada pukul 3.30 pagi tadi apabila terserempak dengan dua lelaki menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan kemudiannya menemukan selaras senapang patah yang dibungkus dengan kain selain 15 butir peluru hidup di dalam beg plastik,” katanya.

Kata Wan Azharuddin, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai lesen memiliki senjata api selain tidak pernah memohonnya.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda bersama senjata yang dirampas dan dan hasil rakaman percakapan, suspek mengaku mereka dalam perjalanan untuk memburu babi hutan di Sungai Lalang.

“Kita sedang melakukan siasatan terperinci untuk mengetahui bagaimana suspek memperoleh senjata api berkenaan,” katanya.

Kata Wan Azharuddin, kedua-dua suspek yang mempunyai pertalian darah itu direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8, Akta Senjata 1960. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×