Kes Soosaimanicckam: Polis tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya - Utusan Malaysia

Kes Soosaimanicckam: Polis tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya

AZIZI Mat Aris dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis sedang menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuka semula siasatan berhubung kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J. Soosaimanicckam yang diputuskan sebagai kes homisid oleh Mahkamah Tinggi.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya maklum tuntutan berkenaan dibuat keluarga mendiang menerusi memorandum oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang diserahkan semalam.

“Kes tersebut sebelum ini telah dirujuk ke Mahkamah Tinggi dan memorandum juga sudah dihantar (kepada polis).

“Kita akan lihat dan buka semula kertas siasatan kes berkenaan setelah menerima arahan daripada TPR dan mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Semalam, sebanyak 29 NGO diketuai Lawyers For Liberty (LFL) menyerahkan memorandum bagi memohon pihak polis membuka semula siasatan kes kematian pegawai kadet berkenaan.

Memorandum itu diserahkan melalui peguam dari LFL, Zaid Malek pada pukul 10.45 pagi kepada pegawai polis di Bukit Aman.

Tuntutan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh bulan lalu yang mengklasifikasikan kematian pegawai itu sewaktu menjalani latihan pegawai kadet di Lumut pada 19 Mei 2018 sebagai kes homisid.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan ‘keputusan terbuka’ berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet terbabit.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, pegawai TLDM yang bertanggungjawab terhadap latihan kadet itu menafikan hak si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan sehingga menjurus kepada punca kematian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×