MELAKA: Seorang penganggur berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik iparnya sendiri.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 28 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang perempuan berusia 20 tahun yang juga merupakan adik iparnya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Dato Nawar, Kampung Air Tawar, Merlimau dalam daerah Jasin antara pukul 9 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 Ogos 2024.
Mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, kejadian berlaku di bilik tidur mangsa yang masih bujang ketika ahli keluarga yang lain tiada di rumah.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam Shah Wira Abdul Halim merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan perlu menanggung rawatan dialisis bapa.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan. – UTUSAN










