Cegah habis-habisan Hepatitis C

Cegah habis-habisan Hepatitis C

GOLONGAN berisiko perlu dikenalpasti dengan memperuntukkan mekanisma sistem saringan pengesanan awal jangkitan Hepatitis C bagi memastikan tiada keciciran sekali gus mengelakkan komplikasi kanser yang fatal. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Hepatitis secara umum merupakan radang hati akibat jangkitan virus, bahan toksik seperti alkohol, tindak balas autoimun atau kesan akibat pemakanan tertentu.

Jangkitan virus yang menyebabkan hepatitis pula boleh disebabkan oleh lima jenis virus iaitu Hepatitis A, B, C, D dan E.

Hepatitis C merupakan satu dari jangkitan virus pada hati yang penting dalam kesihatan awam di Malaysia.

Di Malaysia, dianggarkan 2.5 peratus jumlah jangkitan daripada keseluruhan 453,700 pesakit. Pesakit Hepatitis C biasanya mendapat komplikasi kanser hati yang akhirnya membawa kepada kematian.

Golongan yang berisiko mendapat jangkitan Hepatitis C termasuklah mereka yang pernah mendapat transfusi darah, kecederaan berulang oleh jarum suntikan yang tercemar dengan virus, mereka yang mempunyai pasangan hubungan intim yang berbilang serta anak-anak yang lahir dari ibu yang diketahui dijangkiti virus Hepatitis C.

Mereka yang dijangkiti Hepatitis C tidak mempunyai sebarang gejala yang khusus kecuali apabila mendapat gejala serius. Ini biasanya belaku apabila sebahagian hati sudah gagal berfungsi secara normal.

Ini termasuklah lemah badan, jaundis (kekuningan mata dan kulit), sakit bahagian kanan abdomen serta terdapat cecair dalam ruang abdomen (busung).

Namun terdapat pesakit yang datang dengan gejala pendarahan luar biasa seperti lebam pada kulit atau pendarahan hidung serta bahagian mulut yang biasanya gagal dikesan puncanya pada peringkat awal.

Namun, pengesahan diagnosis akhirnya dapat dilakukan melalui indeks jangkaan (suspicious index) melalui siri ujian darah dan penyiasatan makmal yang relevan.

Dalam jangkitan Hepatitis C kronik, situasi pendarahan luar biasa boleh berlaku disebabkan oleh kegagalan faktor pembekuan tertentu yang dihasilkan oleh hati. Disebabkan tiada vaksin untuk mencegah Hepatitis C pada masa ini, langkah kawalan dan pencegahan lebih tertumpu kepada saringan awal serta segera memberikan rawatan anti virus yang awal kepada mereka yang terbukti mendapat jangkitan.

Kementerian Kesihatan mempunyai sistem saringan yang lebih menyeluruh ke atas stok darah-darah yang digunakan untuk pesakit yang memerlukan.

Kewujudan kit-kit saringan untuk sebarang potensi jangkitan kepada penerima tranfusi darah telahpun dimanfaatkan.

Golongan berisiko perlu dikenalpasti dengan memperuntukkan mekanisma sistem saringan pengesanan awal jangkitan Hepatitis C bagi memastikan tiada keciciran sekali gus mengelakkan komplikasi kanser yang fatal.

Dengan memanfaatkan komitmen organisasi jagaan kesihatan di peringkat global (iaitu Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan tempatan (Kementerian Kesihatan), setiap kita yang berada dalam masyarakat wajar turut bersama-sama membantu menggerakkan usaha kawalan dan pencegahan terhadap Hepatitis C.

Individu berisiko perlu dinasihatkan tampil menjalani saringan secara rutin.

Fungsi keluarga dengan menanamkan nilai murni dapat mengelakkan cara hidup tidak sihat.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MALINA OSMAN
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×