SAUDARA PENGARANG,
PADA hakikatnya, siapa pun akan marah apabila mendengar ada ahli politik menggunakan kuasanya demi menjaga tembolok diri dan kroninya. Dalam sesebuah masyarakat yang mementingkan integriti, setiap individu saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain. Hal ini akan mewujudkan suasana yang harmoni dan aman.
Apabila kepercayaan wujud dalam sesebuah masyarakat, ia akan memudahkan proses kerjasama dan interaksi sosial berlaku dengan lebih lancar.
Belum lagi disentuh bab pengurusan yang tidak telus, penindasan hak dan kebajikan pekerja. Ada yang lantang terhadap sesuatu isu tetapi dari sudut implementasi sangat jauh sekali daripada yang dicanangkan. Sedarkah kita bahawa integriti adalah faktor penting dalam memastikan keberkesanan sesebuah organisasi atau institusi?
Pemimpin dan pekerja yang mempunyai integriti yang tinggi akan sentiasa berusaha untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Mereka tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti organisasi tersebut.
Dalam bidang pendidikan juga, integriti memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berlaku dengan berkesan.
Guru dan pensyarah yang mempunyai integriti akan sentiasa berusaha menyampaikan ilmu pengetahuan dengan jujur dan telus. Mereka tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kredibiliti mereka sebagai pendidik.
Integriti juga merupakan faktor penting dalam memastikan kelangsungan sesebuah negara.
Pemimpin negara yang mempunyai integriti akan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin. Mereka tidak akan terlibat dalam sebaranga ktiviti yang boleh menjejaskan kepentingan dan masa depan negara.
Justeru, sebagai masyarakat berilmu lagi bertamadun perlu berusaha untuk memupuk dan mempertahankan integriti dalam setiap tindakan demi kebaikan bersama.-UTUSAN
ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM










