BEIJING: China melancarkan roket yang membawa 18 satelit, sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kehadirannya dalam bidang angkasa lepas.
Satelit itu dibawa oleh roket Long March-6 dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di wilayah Shanxi, utara China, kelmarin.
Menurut agensi berita rasmi Xinhua, roket tersebut sampai ke orbit yang dirancang tanpa sebarang insiden.
Program angkasa lepas China melancarkan banyak misi kru, mendirikan stesen angkasa dalam orbit dengan kru tiga angkasawan secara bergilir-gilir, serta menghantar kapal rover ke bulan yang membawa balik sampel batu dan tanah.
Projek mega Qianfan atau G60, dilancarkan pada 2023, bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi yang lebih meluas dan berkualiti tinggi untuk pengguna domestik.
Ia dijangka mewujudkan rangkaian lebih 15,000 satelit multimedia skrin lebar orbit bumi rendah (LEO) dalam jangka panjang.
China juga melancarkan Sistem Beidou yang terdiri daripada beberapa satelit untuk tujuan keselamatan negara, komunikasi dan sains, yang dilihat sebagai alternatif kepada sistem GPS yang digunakan sebagai pengemudian dan dikendalikan oleh Amerika Syarikat (AS), pesaing China.
Tahun ini, Qianfan dijangka akan menyelesaikan pelancaran 108 satelit, dan menjelang akhir tahun 2025 mencapai liputan rangkaian serantau dengan 648 satelit.










