JEMPOL: Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabit nahas dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Bahau-Keratong, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi dengan lori dari arah Bahau menuju ke Keratong, Pahang dipandu oleh seorang lelaki berusia 59 tahun manakala kereta Proton Wira dipandu warga emas berusia 74 tahun.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu kereta telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar lori terbabit.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 47 tahun meninggal dunia selepas dua jam bertarung nyawa apabila terbabi kemalangan di Kilometer 16 Jalan Bahau-Kemayan, di sini, pukul 10.45 malam semalam.
Chang Hook berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu kereta jenis Honda Civic memandu seorang diri dari arah Triang, Pahang menuju ke Bahau.
“Setiba di lokasi kejadian, semasa menghampiri kawasan selekoh pemandu kereta tersebut dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke tebing tanah arah bertentangan sebelum terbalik.
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan parah dibahagian kepala serta dada dan dibawa ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.35 tengah malam,” kata beliau.-UTUSAN.










