DUBAI: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mengekalkan kedudukan sebagai lapangan terbang antarabangsa tersibuk di dunia apabila mencatatkan rekod 44.9 juta pelancong pada separuh pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Airports, Paul Griffiths dalam satu kenyataan hari ini berkata, rekod itu menonjolkan kepentingan strategik lapangan terbang berkenaan sebagai hab penerbangan global.
“Dubai berada di barisan hadapan bandar-bandar global dalam menarik perniagaan dan pelancong dari seluruh dunia. Kami berbangga menjadi pintu masuk ke seluruh negara,” ujarnya seperti laporan Arab News memetik keputusan itu yang didedahkan hari ini.
Griffiths menambah, pihaknya optimis dapat memecahkan rekod dengan 91.8 juta penumpang yang diramal hujung tahun ini.
Lapangan terbang tersebut merekodkan 89.1 juta penumpang pada tahun 2018 iaitu tahun paling sibuk sebelum pandemik Covid-19.
Sebanyak 66 juta penumpang melalui lapangan terbang itu pada 2022, sementara 86.9 juta penumpang direkod pada tahun lalu.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini mengumumkan pembinaan terminal baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Maktoum, Dubai, yang menelan kos hampir AS$35 bilion (RM167 bilion).
Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum berkata, ia akan mempunyai kapasiti lima kali ganda saiz berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.- AGENSI











