Lelaki didakwa curi syiling edisi terhad bernilai RM1.76 juta

Lelaki didakwa curi syiling edisi terhad bernilai RM1.76 juta

SYILING edisi terhad Bluey dilaporkan dijual 10 kali lebih tinggi daripada nilai sepatutnya dalam talian.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Seorang lelaki Australia dihadapkan ke mahkamah hari ini atas dakwaan mencuri duit syiling peringatan bernilai lebih AS$600,000 (RM1.76 juta) bertemakan rancangan televisyen kanak-kanak popular, Bluey.

Steven John Neilson, 47, yang didakwa atas tiga tuduhan pecah masuk tidak dibebaskan dengan jaminan selepas dihadapkan ke Mahkamah Parramatta, di sini hari ini.

Pekerja gudang itu ditahan hari ini susulan laporan oleh agensi pengeluar wang syiling rasmi, Royal Australian Mint bulan lalu selepas sebanyak 64,000 unit syiling A$1 (RM2.94) yang belum dikeluarkan, hilang daripada gudang mereka.

BBC melaporkan, syiling edisi terhad itu dijual 10 kali lebih tinggi daripada nilai sepatutnya di atas talian.

Menurut polis, serbuan terhadap rumah Neilson menemukan sejumlah 1,000 unit syiling berkenaan, sementara bakinya telah dijual dipercayai pada harga A$200 (RM588) untuk sekeping berbanding harga asal A$20 (RM58).

Polis percaya, tertuduh melakukan jenayah itu dengan bantuan dua lagi rakannya yang masih belum ditangkap.

Rancangan animasi, Bluey yang telah bersiaran selama tiga musim dengan 154 episod, ditonton di lebih 60 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan China.

Bluey yang memaparkan watak anjing bernama Heeler serta keluarganya itu, diterbitkan syarikat animasi Ludo dengan kerjasama BBC Studio dan rangkaian penyiar, Australian Broadcasting Corporation.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×