Perasmian Sukma 2024 serlahkan budaya Sarawak

Perasmian Sukma 2024 serlahkan budaya Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis perasmian Sukan Malaysia (Sukma) 2024 pada 17 Ogos ini di Stadium Sarawak bakal menampilkan keunikan budaya serta identiti negeri Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kesenian Sarawak (MSS), Dayang Mariana Abang Bolhassan, berkata acara pembukaan tahun ini dengan tema ‘Matlamat Perpaduan Membara’ akan mempamerkan perpaduan yang holistik dan menjadikan Sukma 2024 sebagai edisi yang amat dikenang.

“Konsep acara ini melangkaui persembahan kebudayaan semata-mata; ia bertujuan untuk menjadikan Sukma kali ini sesuatu yang membanggakan semua pihak.

“Kami juga berharap cuaca pada hari tersebut akan menyebelahi kami bagi memastikan persembahan terbaik,” katanya.

Sebanyak 1,800 peserta, termasuk ahli pelbagai persatuan, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pelajar sekolah, akan terlibat dalam acara tersebut.

Beliau menambah bahawa peserta ini datang dari pelbagai latar belakang dan menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam latihan yang telah bermula sejak April, disokong oleh 44 tenaga pengajar.

Selain itu, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak telah mengumumkan bahawa sebanyak 7,500 tiket untuk majlis perasmian Sukma akan diedarkan secara percuma pada 13 dan 14 Ogos di Stadium Sarawak, bermula jam 10 pagi.

Sukma 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini akan diadakan di sembilan daerah iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Acara ini akan menampilkan 488 pertandingan melibatkan 37 jenis sukan, dengan 236 acara lelaki, 217 acara wanita, dan 35 acara campuran, serta dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

Sukma diperkenalkan pada 1986 dan Sarawak pernah menjadi tuan rumah dua kali sebelum ini, pada tahun 1990 dan 2016.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×