GEORGE TOWN : Isu pencemaran habuk yang didakwa berpunca daripada tapak projek jalan pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam (Pakej 2) di sini telah diambil tindakan segera oleh pihak kontraktor yang terlibat.
Menurut jurucakap pejabat tapak Pakej 2 iaitu sebuah projek di bawah kendalian Penang Infrastructure Corporation (PIC), isu utama yang dibangkitkan itu dikatakan berpunca daripada pengoperasian mesin pemecah batu atau ‘mobile crusher’ di situ.
“Untuk makluman, pihak kontraktor telah mengambil tindakan segera dengan mengalihkan mesin tersebut ke lokasi berdekatan kelompok pokok besar yang bertindak sebagai penghalang semula jadi daripada habuk berterbangan,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa laporan media membangkitkan mengenai aduan penduduk sekitar kawasan Seri Delima berkenaan pencemaran habuk yang dikatakan berpunca dari tapak projek Pakej 2.
Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, bagi mengatasi masalah habuk di sepanjang jajaran projek pula, beberapa tindakan mitigasi telah diambil termasuk mempergiat kerja-kerja penyiraman air (water browser) dengan kekerapan sekurang-kurangnya empat kali sehari.
“Penyiraman air dilakukan dengan menggunakan jentera yang mampu menyiram air dengan isi padu lebih tinggi, meletakkan pekerja sepenuh masa di kawasan kritikal bagi melaksanakan penyiraman air secara manual.
“Pemasangan tirai penghalang habuk (dust curtain) juga dilaksanakan bagi mengurangkan kejadian debu berterbangan,” katanya.
Tambah beliau, bagi aduan bahawa terdapat cerun yang tidak ditutup, kerja-kerja perlindungan cerun hanya boleh dilaksanakan bagi kawasan yang tidak melibatkan kerja-kerja pembinaan.
“Bagi cerun-cerun yang telah mencapai aras binaan, kerja-kerja pelindungan cerun kekal telah dilaksanakan seperti pepaku tanah (soil nailing), penanaman rumput khas (hydroseeding and turfing),” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak kontraktor telah mengadakan sesi dialog bersama-sama penduduk
Seri Delima, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan pada 29 Julai lalu.
“Perbincangan susulan bersama ADUN Seri Delima juga telah diadakan pada pagi 6 Ogos bagi membincangkan tindakan susulan yang telah diambil di tapak,” katanya.-UTUSAN









