GEORGE TOWN : Kerja-kerja meletupkan bongkah batu bagi memberi laluan kepada Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, sepatutnya, tiada kejadian batu dan tanah berterbangan dalam kuantiti yang besar serta melibatkan jarak yang jauh iaitu sekitar 100 meter dari lokasi peletupan.
Katanya, merujuk kepada kejadian yang berlaku pada pukul 11 pagi semalam, terdapat kerosakan melibatkan kawasan kondominium Jay Series berpunca daripada bongkah tanah yang berterbangan kesan daripada kerja-kerja peletupan batu terkawal yang dijalankan di kawasan cerun projek di lokasi CH1875.
“Kerja meletupkan bongkah batu itu merupakan antara skop kerja utama bagi projek ini dan ini merupakan bilangan yang ke-600 kerja ini dilaksanakan.
“Ia (kerja peletupan) telah dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan dan pada kebiasaannya, tiada kejadian batu dan tanah berterbangan dalam kuantiti yang besar dan melibatkan jarak yang jauh,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam, terdapat beberapa buah kenderaan yang diparkir di kawasan parkir kondominium Jay Series mengalami kerosakan selepas terkena serpihan batu yang diletupkan untuk menjalankan kerja-kerja Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam.

Menurut Farizan, bagi mengelakkan perkara tersebut berulang, pihak kontraktor telah diarahkan untuk mengambil beberapa tindakan penambahbaikan termasuk mengurangkan kedalaman gerudi dan berat bahan letupan bagi mengawal kekuatan kesan letupan.
“Selain itu, mereka akan memastikan pelindung keselamatan iaitu lapisan penutup tanah, jejaring besi, geotekstil dan guni pasir yang meliputi kawasan yang lebih besar serta menyeluruh daripada 1.8 kepada 2.4 meter dari letupan, untuk menampung kemungkinan masalah rongga batu dan keadaan luar jangka,” katanya.
Katanya, pada masa yang sama, pihak kontraktor juga akan menambah beban tanah di atas dan sisi dengan tambahan plat keluli dan blok ‘kentledge’ sebagai pelindung keselamatan tambahan bagi mengurangkan imupak letupan.
“Ketika ini, pihak kontraktor telah mengambil tindakan pembaikan terhadap kerosakan yang telah berlaku kepada struktur fasiliti kondominium terbabit manakala pengesanan pemilik kereta yang terlibat juga masih dalam tindakan pihak kontraktor,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berharap agar kejadian tersebut tidak akan berulang lagi dan beliau turut memohon maaf kepada penduduk yang terlibat.
“Pihak kontraktor telah menjalankan 600 kali kerja pemecahan batu sejak Januari 2022. Masih ada 200 kali lagi kerja pemecahan akan dijalankan. Walaupun kejadian ini baru sekali berlaku, ia tidak sepatutnya berlaku.
“Jadi, kita berharap kontraktor pasukan akan sentiasa mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian itu daripada berulang,” katanya.-UTUSAN










